in

Cute LOL Love OMG Win WTF

5 Jalan Yang Paling Menakutkan Di Sabah

Apabila anda memandu kereta di jalan-jalan yang sunyi dan gelap, terutamanya ketika waktu malam apa perasaan anda waktu itu? Tentunya anda dilanda perasaan yang menyeramkan lebih-lebih lagi jika anda memandu berseorangan. Berikut adalah perkongsian dari seorang warga Sabah mengenai pengalaman beliau ketika memandu melalui jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Sabah.

1. Jalan di Bukit Melingsung, Papar

Sudah agak lama peristiwa ini berlaku. Ia terjadi pada tahun 2003, sekitar pukul 4.00 pagi. Selepas habis aku dan kawan-kawan aku melepak di Kota Kinabalu, kami pun pulang dengan menaiki kereta Toyota Hilux. Di bahagian bumbung kereta yang kami naiki itu ada dipasang ‘spotlight’. Ketika itu aku memandu dengan agak laju kerana tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang pada waktu itu. Apabila sampai di puncak Bukit Melingsung, tiba-tiba di hadapan kami kelihatan ada orang melambai-lambai tangan cuba untuk menahan kereta kami. Aku dapat melihatnya dari jauh disebabkan ‘spotlight’ yang terang dari kereta kami. Aku menekan brek dan perlahankan kereta.

Kawan aku yang tengah tidur waktu itu terus terbangun apabila aku memperlahankan kereta tadi. Dalam keadaan mamai, dia bertanya, “Kenapa tiba-tiba perlahan saja ni?”. Aku pun menjawab, “Itu kat depan, ada orang tahan kereta kita. Nak menumpang kali”. Aku memandu kereta dengan perlahan sambil menghampiri orang itu namun apabila dah dekat dengan orang itu, aku terus menekan minyak dan memecut laju kereta. Kawan aku kehairanan melihat tingkah laku aku lalu bertanya kenapa aku tidak tumpangkan orang itu tadi. Aku menjawab, “Masa orang tu melambai-lambai tahan kereta kita tadi, kau ada nampak tak tangan dia? Aku sendiri pun tak nampak tangan dia keluar dari lengan baju tangan panjang yang dia pakai itu. Sudah lah baju dia pun lain macam, macam pakai jubah hitam dan bertutup kepala. Muka dia pun aku tidak nampak tadi. Kau nampak muka dia? Hitam saja kan, macam orang itu tidak ada muka! Kau tengok jam sekarang sudah pukul berapa? Sudah pukul 4 pagi bah!”.

Terus terdiam kawan aku mendengar penjelasan aku yang panjang lebar itu. Kami masing-masing diam membisu di dalam kereta sambil melayan perasaan seram yang menyelubungi diri kami pada waktu itu. Sampai sekarang kami tidak tahu tahu siapakah atau apakah yang cuba menumpang kereta kami pada malam tersebut.

2. Jalan Ranau–Kota Kinabalu

Pada tahun 2005, aku bersama kawan-kawan, 4 orang semuanya. Seorang darinya adalah saudara aku manakala dua lagi adalah kawan-kawan aku, seorang berasal dari Sarawak manakala seorang lagi dari Semenanjung. Kami berempat semuanya menaiki Mitsubishi Pajero dan dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu. Hari itu bukan aku yang memandu kereta tapi saudara aku yang memandu. Masa sudah hampir ke pukul 11.00 malam ketika itu. Sampai saja di kawasan Bundu Tuhan, aku pun membuka tingkap kereta kerana ingin merokok. Ketika aku sedang syok menyedut asap rokok, tiba-tiba aku terdengar suara perempuan ketawa mengilai di atas bumbung kereta yang kami naiki. Pada mulanya bunyi itu kedengaran seperti berada jauh dari kami, tapi lama-kelamaan bunyi suara mengilai itu kedengaran seperti semakin dekat. Akhirnya bunyi suara perempuan mengilai itu kedengaran seperti berada betul-betul di atas bumbung kereta kami.

Aku serta-merta membuang rokok yang masih tinggal separuh dan terus menutup tingkap kereta. Suara perempuan mengilai itu masih ada. Namun kami semua diam saja sambil dengar suara ketawa mengilai itu di atas bumbung kereta. Semakin laju kereta yang dipandu oleh saudara aku ketika itu. Aku bertanya kepadanya adakah dia juga dapat mendengar suara mengilai itu, tapi dia pula menjawab dengan memberikan soalan, “Suara apa itu?”. “Itu macam suara pontianak, mungkin dia terbang atas bumbung kereta kita”, aku menjawab.

Aku mengingatkan saudara aku supaya tidak memandu terlalu laju, kerana aku dapat melihat dia seperti tidak lagi dapat mengawal perasaan takutnya ketika itu. Manakala kawan-kawan yang berada di tempat duduk belakang pula, tidak lagi menyandar ke kerusi, kedua-dua mereka semakin rapat ke hadapan. Sepanjang perjalanan kami hanya diam mendengar suara mengilai itu dan suara itu hanya hilang selepas kami menghampiri sebuah kawasan perkampungan.

3 . Jalan Kota Belud-Ranau

Cerita ini pula berlaku pada tahun 2006. Semasa kejadian aku memandu kereta Proton Wira 1.5 yang ketika itu, kereta wira itu baru saja berumur 2 bulan. Dari Kudat, aku ikut jalan pintas menuju ke jalan Ranau melalui Kota Belud. Pada masa itu aku bersama dengan tiga orang kawan dari Semenanjung. Lebih kurang pukul 10.00 malam ketika masih lagi memandu, keadaan jalan itu sangat sunyi. Seingat aku, hanya ada tiga buah kereta yang lalu. Sangat sunyi perjalanan kami, sehingga la sampai ke jalan yang menaiki bukit. Tiba-tiba kereta Wira yang kami naiki itu semakin perlahan, maka dengan segera aku menekan klac dan ‘free’-kan gear kereta, namun tiba-tiba sahaja enjin kereta yang kami naiki itu mati. “Aikk, kereta ini baru pakai 2 bulan, baru lagi. Takkan dah rosak kot”, aku bercakap sendirian.

Kawan-kawan aku mula bertanya kenapa enjin mati, aku cuma menasihati mereka supaya membaca apa-apa sahaja ayat Quran yang dihafal. Seorang kawan tu pula Kristian, aku suruh juga dia baca apa-apa doa dari Bible. Selepas itu, kami diam sejenak, masing-masing baca doa apa-apa yang rasanya patut. Selesai saja berdoa, aku cuba untuk hidupkan kembali enjin kereta, dan dengan mudah enjin kereta hidup semula. Kami pun teruskan perjalanan sampai sana Ranau dan tidur di sebuah hotel. Rasa hairan dengan kereta itu, kereta baru dan sebelum ni tidak pernah pula buat hal, tiba-tiba pula buat boleh hal di tengah-tengah hutan.

4. Jalan Membakut-Binsuluk-Kuala Penyu

Menurut cerita kebanyakan orang, sepanjang jalan Membakut-Binsuluk-Kuala Penyu ‘keras’ dan berpenunggu. Tetapi setakat ini aku tidak pernah lagi jumpa apa-apa yang pelik. Tapi kejadian aneh yang aku pernah alami terjadi berdekatan dengan jalan Melinsung. Berdekatan dengan bukit, kononnya ada peninggalan istana berdekatan dengan kawasan Kinarut. Masa itu aku dalam perjalanan dari Kota Kinabalu bersama dengan abang aku. Kejadian ini berlaku pada tahun 2007 pada waktu malam. Malam itu lebih kurang dalam pukul 10.30 mala, hujan renyai-renyai dan pada ketika itu aku yang memandu. Ketika itu, aku cuma memandu perlahan iaitu pada kelajuan 60km/j sahaja, kerana aku tengah berbual dengan abang aku. Ketika sampai di kawasan bukit itu iaitu berdekatan dengan selekoh, apabila naik sahaja kawasan bukit itu, tiba-tiba saya nampak satu makhluk di tepi jalan di tapak yang kononnya istana itu pernah terbina.

Makhluk itu kelihatan agak besar, lebih besar daripada manusia, badannya dipenuhi dengan bulu berwarna coklat kemerahan dan sedang duduk mencangkung. Lututnya kelihatan lebih tinggi dari kepalanya, telinga dia pula panjang tajam. Aku pun terus perlahankan kereta dan tinggikan lampu kereta. Aku bertanya kepada abang aku, “Kau nampak tak apa benda yang di depan kita itu?”. Dia menjawab, “lain macam saja itu benda”. Aku perlahankan lagi kereta yang kami naiki. Ketika kereta kami semakin mendekati mahluk itu, aku bertanya lagi kepada abang aku, “Mau berhenti tengok ka?”. “Kau gila?” jawab abang aku. Lama-kelamaan kami semakin dekat dan semakin jelas makhluk itu kelihatan, tapi makhluk itu duduk membelakangi kami. Kami teruskan perjalanan, apabila kereta lalu ditepi mahluk itu, rupanya tidak dapat dilihat dengan jelas, tapi ia kelihatan seperti anjing dengan lidahnya yang terjelir panjang keluar.

5. Jalan Tenom-Sipitang

Keadaan jalan Tenom-Sipitang sangat sunyi malah tiada kawasan perkampungan sepanjang jalan tersebut. Namun begitu aku tidak pernah lagi diganggu, tapi keadaan dan persekitaran jalan itu memang sangat menyeramkan. Apabila melalui jalan itu, aku akan rasa lain macam. Aku terasa seperti ada sahaja mata yang memerhatikan aku sepanjang jalan tersebut.

Leave a Reply

Flat Tinggal Yang Berhantu Di Pinggir Sungai Besi

5 Tip Mengelak Bilik Hotel Berhantu di Malaysia