in

Flat Tinggal Yang Berhantu Di Pinggir Sungai Besi

Hai. Aku nak kongsi pengalaman seram aku sewaktu aku tengah praktikal di salah sebuah syarikat yang terletak di kawasan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Disebabkan aku seorang saja yang praktikal di syarikat tersebut, jadi aku membuat keputusan untuk sewa bilik sahaja. Ye la, mana mampu budak praktikal nak sewa sebiji rumah.

Sementara nak dapat bilik sewa tu, aku tumpang je tidur kat bilik asrama adik aku yang belajar kat Universiti Putra Malaysia. Setelah puas mencari, akhirnya aku jumpa juga iklan bilik untuk disewakan di sebuah apartment yang terletak di Taman Sungai Besi. Di kawasan tersebut, kebanyakan penghuni di situ adalah warga asing tapi aku tidak kisah sangat pun tentang hal itu. Apa yang penting, aku dah dapat tempat untuk menginap sepanjang aku praktikal ni.

Selepas aku berjumpa tuan rumah dan membuat pembayaran deposit untuk bilik tersebut, pada malamnya aku pun terus mengangkut barang-barang aku dari bilik adik aku untuk dipindahkan ke rumah sewa itu. Setelah siap mengemas bilik ala kadar, aku terus menutup pintu bilik dan berbaring atas katil. Penat juga berpindah ni, jadi aku ingin merehatkan badan yang keletihan.

Ketika aku sedang berbaring, kedengaran bunyi seolah-olah ada sesuatu yang berlari-lari di atas bumbung rumah. Untuk pengetahuan semua, apartment yang aku sewa ini berada di tingkat yang paling atas sekali, jadi rumah ini berbumbung. Aku positif saja masa tu. Pada fikiran aku, mungkin tikus yang tengah main kejar-kejar atas bumbung tu. Tuan rumah pula jarang berada di rumah kerana dia selalu keluar melepak dan terus tidur di rumah kawan dia kat Dato’ Keramat. Jadi kebiasaannya tinggal aku sorang-sorang je la kat rumah tu. Walaupun aku cuma sewa bilik, aku aku rasa macam aku sewa satu rumah pula. Bunyi benda berlari-lari kat atas bumbung itu memang selalu sangat aku dengar. Lama-lama aku buat tidak tahu je sebab dah terbiasa. Dah lali barangkali.

Setelah enam bulan aku menyewa bilik kat situ, terjadi satu peristiwa yang paling menyeramkan pada aku. Kisahnya begini, pada suatu malam tu seperti biasa aku berseorangan saja di rumah. Tapi malam itu panasnya lain macam, jadi aku pun buka pintu rumah supaya angin dapat masuk ke dalam dengan harapan sejukla sikit nanti. Pintu ‘grill’ aku biarkan berkunci sebagai langkah keselamatan. Kang tak pasal-pasal kena rompak pula memalam buta ini.

Selepas itu, aku pun duduk di ruang tamu sambil tengok televisyen. Masa itu aku tengok cerita Maharaja Lawak Mega. Tengok siaran ulangan waktu tengah malam je la sebab siang hari aku praktikal. Aku pasang kuat sikit suara televisyen tu sebab tengok cerita lawak kalau suara perlahan tak syok la pula. Pasang kuat pun tidakla kuat sangat sampai boleh mengganggu jiran sebelah-menyebelah.

Masa tengah nikmat melayan cerita maharaja lawak mega, dalam suasana lawak dan hingar-bingar bising rancangan itu, secara tiba-tiba aku seperti terdengar suatu suara yang kedengaran agak perlahan dan jauh. Suara tersebut mengeluarkan bunyi “herrrrrggggghhhhhh”. Lebih kurang macam itulah bunyinya. Sebiji macam cerita hantu Ju-on. Bayangkan dengar bunyi macam tu tengah-tengah malam. Duk seorang diri pula tu. Banyak kali aku dengar bunyi itu. Memang seram gila aku rasa masa tu. Jadi aku pun perlahankan bunyi televisyen, dan cuba dengar betul-betul bunyi itu. Mana tahu itu cuma mainan perasaan aku saja tapi yang buat aku lagi tambah seram ialah bunyi tersebut memang betul-betul kedengaran.

Tiba-tiba bulu roma aku meremang dan tegak berdiri selepas aku teringat kata-kata kakak aku. Dia pernah cakap dengan aku, “Kalau dengar bunyi gangguan tu macam jauh dan perlahan, maknanya ‘benda’ itu dekat. Tapi kalau bunyi itu kuat, maknanya dia jauh dari kita”.

Dalam keadaan takut itu, aku cuba juga memberanikan diri dan mencari dari mana datangnya bunyi tersebut. Disebabkan bunyi itu agak perlahan, memang susah nak cari sumber bunyi itu. Setelah aku cari-cari tapi tak jumpa, aku pun pergi semula ke ruang tamu. Aku berdiri dan termenung seketika memikirkan akan bunyi tersebut dan kebetulan masa itu aku berdiri menghadap ke arah pintu rumah yang terbuka.

Waktu itu aku termenung memandang lantai, namun sebaik sahaja aku mendongakkan kepala aku ke atas, alangkah terkejutnya aku apabila melihat satu susuk tubuh yang berpakaian serba putih dan berambut panjang menutupi muka hingga ke hujung kaki berada di di hadapan aku. Masa itu nak lari keluar rumah memang tak boleh dah sebab ‘benda’ itu menghalang laluan keluar. Secara spontannya aku terus berlari sepantas kilat masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu bilik.

Aku buka laptop dan pasang surah-surah al-Quran. Hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku termangu ketakutan dan tidak tahu nak buat apa dah masa tu. Aku baring dan cuba untuk tidur sambil mata aku melilau melihat sekeliling bilik. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang pelik.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk tutup sahaja mata dan tidur. Memang susah untuk aku tidur pada malam itu tapi aku tetap pejamkan mata dan aku tidak sedar bila masanya aku terlelap. Keesokkan paginya, aku terus keluar dari rumah itu dan balik kampung. Dan aku bernasib baik sebab kebetulan masa itu praktikal aku dah pun habis, kalau tidak letih aku nak kena mencari rumah sewa lain dan berpindah lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita Ini Pasang CCTV Di Rumah Untuk Awasi Kegiatan Kucingnya. Apa Yang Dirakamkan Mengejutkan

5 Jalan Yang Paling Menakutkan Di Sabah